LPT2 DE’PERASING RIDE 2019 – AJIL CHALLENGE: LALUAN BUKIT BESI-KUALA TERENGGANU DI LPT2 DITUTUP SEMENTARAPADA 16 NOVEMBER 2019, JAM 12:00 MALAM - 2:00 PETANG

 

Lebuhraya Pantai Timur 2 Sdn Bhd mengumumkan bahawa laluan di antara Bukit Besi hingga Kuala Terengganu di antara KM433.3 dan KM365.35 di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) akan ditutup sementara pada 16 November 2019 (Sabtu) akan datang bermula jam 12:00 malam hingga 2:00 petang bagi memberi laluan kepada penganjuran acara berbasikal LPT2 De’ Perasing Ride 2019-Ajil Challenge.

Pengurus Perniagaan Wilayah LPT 2 Sdn Bhd, Roszi Ibrahim berkata, “Penutupan laluan Bukit Besi-Kuala Terengganu tersebut juga membabitkan penutupan Persimpangan Bertingkat Telemong dan Ajil di LPT2.”

Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan supaya menggunakan laluan alternatif serta merancang perjalanan mereka sepanjang penutupan tersebut.

“LPT2 akan menggunakan pelbagai saluran untuk menghebahkan penutupan sementara tersebut kepada orang ramai termasuk media elektronik dan media cetak, media sosial, papan tanda elektronik, laman web, Twitter LPT2Trafik dan lain-lain lagi,” jelas Roszi.

“Orang ramai dari arah Kuala Lumpur/Kuantan yang ingin ke Pantai Timur dinasihatkan supaya keluar dari Lebuh raya LPT2 menerusi Plaza Tol Bukit Besi dan menggunakan Lebuhraya Persekutuan atau jalan negeri untuk ke Kuala Terengganu dan Kota Bharu,” tambah Roszi.

Manakala, bagi kenderaan dari arah Kota Bharu/Kuala Terengganu yang menghala ke Kuantan/Kuala Lumpur, mereka perlu memasuki Lebuhraya Persekutuan atau jalan negeri dan masuk semula ke Lebuh raya LPT2 melalui Plaza Tol Bukit Besi atau Plaza Tol Dungun untuk meneruskan perjalanan ke Kuantan/Kuala Lumpur.

 

LPT2 juga bekerjasama dengan pihak Polis dan pihak-pihak lain dalam memastikan kelancaran trafik dan membantu orang ramai sepanjang tempoh penutupan sementara tersebut.

Laluan di antara Bukit Besi-Kuala Terengganu dijangka dibuka semula kepada orang ramai mulai jam 2:00 petang pada 16 November 2019 sejurus berakhirnya acara berbasikal tersebut.