LEBUH RAYA E8 SEDIA 1,160 PETUGAS BAGI MEMASTIKAN KESELAMATAN DAN KESELESAAN PELANGGA

 

Pengendali-pengendali rangkaian lebuh raya E8 iaitu ANIH Berhad dan LPT 2 Sdn Bhd memaklumkan, sejumlah 1,160 petugas lebuh raya termasuk anggota Ronda, pasukan penyelenggaraan lebuh raya serta Pusat Kawalan Trafik bersedia membantu pelanggan ketika mereka menggunakan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) sewaktu dalam perjalanan ke Pahang, Terengganu dan Kelantan pada cuti akhir tahun ini.

Bagi lebuh raya KLK dan LPT1, ia dikendalikan oleh ANIH Berhad, manakala LPT2 dikendalikan oleh LPT 2 Sdn. Bhd. Ketiga-tiga komponen lebuh raya ini menghubungkan Lembah Klang melalui Gombak ke pantai timur seperti Gambang dan Kuantan di Pahang dan Kuala Terengganu di Terengganu.

Berikutan musim tengkujuh yang melanda dan menyebabkan banjir di beberapa tempat terutamanya di jalan pesisir negeri dan persekutuan, maka lebuh raya E8 adalah pilhan yang terbaik untuk pelanggan tiba ke destinasi yang dituju dengan selamat.

Menurut Pengarah Eksekutif ANIH Berhad, Dato’ Nik Fauzi Tan Sri Nik Hussein, “Pelanggan lebuh raya dijamin bukan sahaja dapat menikmati perjalanan yang lancar dan menjimatkan masa, malah dapat menikmati kemudahan seperti Kawasan Rehat dan Rawat (R&R), hentian sebelah, bantuan kecemasan dan perkhidmatan rondaan 24-jam yang sedia ada di  rangkaian lebuh raya E8 kendalian ANIH Berhad sepanjang 234 kilometer.”

Pengarah LPT 2 Sdn. Bhd., Zakaria Ahmad Zabidi berkata, “LPT2 dan LPT1 akan menempatkan seramai 1,160 petugas di sepanjang eko-sistem lebuh raya bagi membantu pelanggan lebuh raya sekiranya berlaku sebarang kecemasan. Jumlah ini meliputi kakitangan di plaza tol, pasukan rondaan, penyelenggaraan lebuh raya serta Pusat Kawalan Trafik bagi membantu pengurusan trafik di kawasan R&R, hentian sebelah dan plaza tol pada musim cuti akhir tahun ini.”

“Lebuh raya LPT2 yang merangkumi laluan sepanjang 184 kilometer yang bermula dari Jabor hingga Kuala Terengganu dilengkapi dengan 5 R&R serta 4 hentian sebelah yang memudahkan pelanggan untuk berhenti rehat dengan selesa sebelum menyambung semula perjalanan mereka. Sekiranya berlaku kecemasan, terdapat kira-kira 60 anggota pasukan Rondaan LPT2 yang boleh membantu pelanggan 24-jam sehari,” jelas Zakaria.

Musim tengkujuh yang melanda negara di beberapa buah negeri di Pantai Timur juga kerap menyebabkan laluan pesisir negeri atau persekutuan mengalami banjir.

 

“Justeru itu, kami menyarankan kepada pelanggan yang terjejas sewaktu musim tengkujuh supaya menggunakan lebuh raya LPT2 sekiranya laluan pesisir negeri atau persekutuan ditutup atau tenggelam yang berpunca akibat banjir untuk meneruskan perjalanan mereka ke Terengganu, Kuantan atau Lembah Klang,” tambah Zakaria.

Secara keseluruhan, lebuh raya E8 menyediakan kemudahan dan keselesaan di kawasan rehat yang sedia ada seperti Hentian Sebelah Gombak, Lanchang, Maran dan Kuantan serta R&R Genting Sempah, Temerloh serta Gambang bagi LPT1, manakala R&R Ajil, Paka dan Perasing bagi LPT2. R&R ini juga dilengkapi dengan kemudahan gerai makanan dan minuman, surau, wakaf, stesen minyak, tandas awam dan tempat letak kenderaan yang mencukupi.

Kedua-dua pengendali lebuh raya tersebut menasihatkan pelanggan lebuh raya untuk terus mematuhi Prosidur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan bagi melandaikan lekuk jangkitan Covid-19, terutamanya apabila menggunakan kemudahan di hentian sebelah dan R&R. Dalam masa yang sama, pelanggan lebuh raya dinasihatkan supaya memastikan kad Touch ‘n Go mempunyai baki yang mencukupi sebelum memasuki lebuh raya. Bagi memudahkan urusan tambah nilai, pelanggan boleh berbuat demikian di Kiosk layan diri (SSK) yang terdapat di Hentian Sebelah Gombak (Arah Barat), R&R Genting Sempah dan Temerloh (Arah Barat dan Timur) serta di Plaza Tol Gambang. Di LPT2, terdapat 16 SSK di sepanjang lebuh raya dan kaunter bayaran di stesen petrol di R&R. Sekiranya pelanggan ingin mendapatkan bantuan kecemasan di rangkaian lebuh raya E8, mereka dinasihatkan untuk menghubungi talian 24 jam LPT Line di 1-700-818-700 bagi KLK & LPT1, manakala LPT2Line di 1-800-88-0220.