LPT2 AMBIL PELBAGAI LANGKAH TINGKATKAN TAHAP KESELAMATAN DI LEBUH RAYA

Pihak LPT2 Sdn Bhd (LPT2) memandang serius terhadap aspek keselamatan orang ramai yang menggunakan Lebuhraya Pantai Timur 2.

Justeru itu, pelbagai langkah telah diambil untuk meningkatkan tahap keselamatan di lebuh raya tersebut. Di antara langkah-langkah yang telah diambil oleh LPT2 (setelah mengambil-alih pengurusan dan operasi Lebuhraya Pantai Timur 2  pada 15 Julai 2016) adalah membaik-pulih pavmen jalan secepat mungkin di lokasi-lokasi yang dikenalpasti.

Pihak LPT2 juga sedang giat menjalankan kerja-kerja menaiktaraf turapan jalan di 10 lokasi yang dikenalpasti di lebuh raya terbabit secara berperingkat mulai September ini.

Selain daripada itu, LPT2 juga secara berterusan mengadakan pemantauan dan membaik-pulih pagar-pagar lebuh raya yang rosak di sepanjang lebuh raya. Secara keseluruhannya, kira-kira 10 kilometer pagar rosak telahpun dibaiki untuk keselamatan orang ramai. Pada masa yang sama, LPT2 memohon kerjasama orang ramai supaya tidak merosakkan pagar-pagar di sepanjang lebuh raya kerana ia boleh mengakibatkan ternakan dan haiwan liar memasuki laluan utama lebuh raya dan membahayakan keselamatan pengguna.

Sementara itu, pihak LPT2 juga menyediakan perkhidmatan pasukan LPT2Ronda untuk memberi bantuan kepada kepada pengguna yang mengalami masalah kenderaan di lebuh raya, mengadakan operasi bersama Jabatan Perhilitan dan lain-lain lagi.

Pada masa yang sama, LPT2 menasihatkan semua pengguna supaya sentiasa mematuhi had laju yang ditetapkan, mengurangkan kelajuan dan memandu dengan lebih berhati-hati, pastikan memandu di dalam keadaan yang cergas dan mendapatkan rehat yang mencukupi terutamanya pada musim hujan ketika ini.

Dalam pada itu, LPT2 juga telah mengadakan beberapa sesi audit keselamatan secara berkala dengan pihak-pihak yang bertanggung-jawab untuk memastikan laluan di LPT2 adalah selamat serta mematuhi piawaian yang ditetapkan.