LPT2 SEDIA HADAPI PERTAMBAHAN TRAFIK

LPT2 Sdn Bhd (LPT2) mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidiladha kepada semua pelanggan Lebuhraya Pantai Timur 2 dan mendoakan perjalanan yang selamat dan penuh keceriaan bersama keluarga di musim perayaan ini.

Pengurus Perniagaan LPT2 Sdn Bhd, Roszi Ibrahim berkata, “Kami telah bersedia menghadapi pertambahan jumlah kenderaan sebanyak 200 peratus setiap hari pada 9, 10, 12, 16, 17 & 18 Ogos ini bersempena dengan cuti Perayaan Hari Raya Aidiladha. Jumlah tersebut merupakan peningkatan kepada 39,000 kenderaan berbanding 13,000 kenderaan pada hari-hari biasa. Justeru, LPT2 telah membuat pelbagai persediaan dari pelbagai aspek bagi membantu pelanggannya menikmati perjalanan yang selamat, lancar dan selesa pada musim perayaan ini.”

Bagi melancarkan pergerakan kenderaan di plaza-plaza tol serta membantu pelanggan, pihak LPT2 akan menambah bilangan kakitangan sebanyak 4.2 peratus. Selain itu, bilangan pasukan LPT2Ronda akan ditambah sebanyak 33 peratus untuk mengadakan rondaan dan memberi bantuan kepada pelanggan yang terkandas di lebuhraya. LPT2 juga turut mendapatkan kerjasama pihak Polis dan JPJ untuk mengadakan rondaan dan pemantauan di laluan terbabit di samping menggunakan bantuan anggota RELA untuk membantu pengurusan trafik di plaza tol terpilih. Bagi merancang perjalanan, pelanggan boleh mendapatkan maklumat trafik terkini di LPT2 menerusi Twitter LPT2Trafik serta kira-kira 20 papantanda elektronik di sepanjang laluan terbabit.

Pemandu yang menghala ke Kota Bharu serta destinasi lain yang berdekatan turut diseru supaya menggunakan LPT2 memandangkan ia menyediakan laluan 2 lorong setiap hala serta pelbagai kemudahan yang selesa seperti R&R, stesen minyak, surau, tandas awam, mesin tambah nilai kad Touch ‘n Go dan lain-lain lagi. Ia turut merangkumi perkhidmatan bantuan kecemasan LPT2Ronda di samping kolaborasi syarikat ini bersama agensi-agensi penguatkuasaan dan kecemasan seperti Polis, JPJ, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan lain-lain lagi.

“Para pemandu akan berasa selesa dan selamat apabila menggunakan lebuhraya LPT2 untuk ke pelbagai destinasi di Terengganu, Kelantan dan kawasan sekitarnya,” jelas Roszi.