LPT2 SUMBANG KENDERAAN RONDAAN KEPADA POLIS UNTUK TINGKAT KESELAMATAN LEBUH RAYA

 

Bagi meningkatkan keselamatan pengguna menerusi pemantauan dan rondaan, LPT 2 Sdn Bhd (LPT2) telah menyumbangkan kenderaan rondaan kepada Polis DiRaja Malaysia.

Pengarah Eksekutif LPT2, Datuk Azman Ismail berkata, “Sumbangan kenderaan rondaan ini membantu kami menjadikan perjalanan di LPT2 lebih selamat untuk pengguna di mana ia bakal digunakan oleh Unit EMPV untuk mengadakan lebih rondaan di lebuh raya. Ia juga membuktikan kerjasama yang erat di antara LPT2 dan Polis dalam membantu orang ramai menikmati perjalanan yang selamat pada setiap masa.”

Azman berkata demikian pada satu majlis penyampaian sumbangan kenderaan peronda Polis LPT2 di Persada PLUS, hari ini. Pada majlis tersebut, pihak LPT2 telah menyampaikan 2 buah kereta peronda Mitsubishi GT Lancer 2.0L kepada unit EMPV Cawangan Trafik Bukit Aman untuk rondaan di Lebuhraya Pantai Timur 2.

“Dengan sokongan dan penglibatan pihak Polis dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang di lebuh raya selama ini, lebuh raya adalah pilihan yang lebih selamat berbanding laluan biasa di negara ini,” tambah Azman.

Sokongan pihak Polis terhadap LPT2 tidak terhad kepada penguatkuasaan undang-undang sahaja. Pihak Polis turut memainkan peranan yang besar dalam membantu dalam rundingan dan konsultasi dalam menangani isu-isu lain seperti isu pemotongan dan kecurian pagar oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan lain-lain lagi.

“Pasukan Polis di LPT2 turut mengadakan operasi pencegahan jenayah, pencegahan vandalisme dan lain-lain,” tambah Azman.

Pada masa yang sama, untuk memudahkan pihak polis membantu, menyalur dan mengkoordinasi bantuan di lebuh raya, LPT2 turut menyediakan pejabat untuk unit peronda lebuh raya di Plaza Tol Ajil dan Plaza Tol Kijal.

Turut hadir ke majlis ini adalah Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Polis Diraja Malaysia, SAC Sharul Othman Mansor, Pengarah Pemantauan Operasi Lembaga Lebuhraya Malaysia, Zahratul’Ula Mohd Ibrahim dan Pengurus Besar LPT2 Sdn Bhd, Husni Md Yusuf.