AIDILFITRI: LPT2 TAWAR REBAT TOL SEHINGGA 30 PERATUS UNTUK PENGGUNA SISTEM ELEKTRONIK

Lebuhraya Pantai Timur 2  Sdn Bhd (LPT2) menawarkan rebat tol sehingga 30 peratus untuk pembayaran tol secara elektronik pada 19 hingga 21 Jun yang akan datang.

Rebat tersebut ditawarkan sebagai salah usaha untuk menarik lebih ramai pengguna pulang lebih awal ke kampung bagi mengelakkan kesesakan pada perjalanan pada hari-hari puncak.

Ia juga diberikan untuk menghargai pengguna-pengguna LPT2 yang menggunakan sistem elektronik.

Pada tarikh-tarikh tersebut, rebat 30 peratus diberikan kepada pengguna kad PLUSMiles manakala pengguna kad Touch ‘n Go boleh menikmati rebat sebanyak 10 peratus. Ia ditawarkan kepada pengguna kenderaan Kelas 1 untuk perjalanan melebihi 100 kilometer di LPT2.

Sepanjang tempoh tersebut, pengguna sistem elektronik masih perlu membayar tol dengan kadar yang biasa. Rebat 30 peratus dan 10 peratus tersebut (dalam bentuk tambah nilai) boleh dituntut di semua Pusat Khidmat Pelanggan LPT2 bermula 15 Julai hingga 14 Oktober yang akan datang.