LEBIH 2,000 PEMINAT SUKAN BERBASIKAL REBUT HADIAH WANG TUNAI BERJUMLAH RM58,000 PADA LPT2 DE’PERASING RIDE 2019 – AJIL CHALLENGE

 

Lebih 2,000 peminat sukan berbasikal mengambil bahagian pada acara kayuhan LPT2 De’Perasing Ride 2019 – Ajil Challenge hari ini.

Anjuran bersama LPT 2 Sdn Bhd dan Kerajaan Negeri Terengganu, acara ini turut disokong oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia serta agensi yang lain.

Upacara pelepasan peserta telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Terengganu, YB Wan Sukairi Wan Abdullah seawal jam 7:30 pagi.

Jumlah penyertaan pada acara kayuhan tahun ini bertambah dua kali ganda berbanding ketika pertama kali ia dianjurkan pada 2017 sebelum jumlah tersebut meningkat kepada 1,300 tahun lalu.

Menurut Pengarah LPT 2 Sdn Bhd, Zakaria Ahmad Zabidi “LPT2 De’Perasing Ride 2019 – Ajil Challenge menganjurkan 3 kategori iaitu Road Bike sejauh 100 kilometer, Mountain Bike sejauh 50 kilometer dan Fun Ride sejauh 50 kilometer.

Kategori Road Bike disertai oleh kira-kira 635 peserta manakala kategori Mountain Bike disertai oleh kira-kira 710 peserta. Seramai 805 peserta pula menyertai kategori Fun Ride.

Ia dianjurkan bagi memeriahkan kalendar pelancongan sempena Tahun Melawat Terengganu 2019 serta mempromosikan LPT2 sebagai laluan utama yang selesa dan mesra pelanggan untuk ke Pantai Timur terutamanya ke Negeri Terengganu.

“Lebih menarik, jaguh basikal dan juga bekas penunggang negara, Anuar Manan turut mengambil bahagian di samping peryertaan daripada pasukan-pasukan terkemuka lain seperti TSG pada acara kayuhan tahun ini,” tambah Zakaria.

Sementara itu, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) turut menghantar seramai 50 peserta dari kalangan kakitangannya di ibu pejabat, termasuklah di wilayah Tengah, Utara dan Selatan untuk menyertai acara berbasikal ini.

“Sejak dua tahun lalu, LPT2 De’Perasing Ride telah muncul sebagai acara kayuhan yang dianggap mencabar oleh peminat sukan berbasikal dan pada tahun ini, kami memberikan kelainan apabila menganjurkannya di Ajil di mana ia memberi peluang kepada peserta untuk mencuba laluan baru yang menjanjikan pengalaman dan cabaran yang baru,” jelas Zakaria.

“Selain disertai oleh peminat sukan berbasikal tempatan, acara ini juga menarik minat peserta-peserta dari Brunei Darussalam, Thailand dan Singapura. Ini adalah perkembangan yang amat baik memandangkan acara ini merupakan salah satu acara berbasikal yang terbesar di Pantai Timur,” tambah beliau.

Selain daripada menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM58,000, LPT2 De’Perasing Ride 2019 – Ajil Challenge turut menawarkan hadiah cabutan bertuah berjumlah RM35,000 kepada peserta. Acara ini turut menyediakan pelbagai program sampingan yang menarik untuk orang ramai seperti cabaran tendangan penalti, bola jaring, gerai-gerai jualan dan lain-lain lagi.

.