PERJALANAN LEBIH LANCAR DI MUSIM PILIHANRAYA:
TIADA PENUTUPAN LORONG DI LEBUHRAYA LPT2 MULAI 5 MEI HINGGA 13 MEI

 

Bagi membantu perjalanan trafik yang lebih lancar sepanjang musim Pilihanraya ini, semua kerja-kerja penyelenggaraan jalan yang melibatkan penutupan jalan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dihentikan sementara mulai 5 Mei sehingga 13 Mei.

Pemberhentian sementara tersebut merangkumi semua kerja-kerja yang melibatkan penutupan jalan kecuali kerja-kerja kecemasan atau kemalangan.

Sehubungan dengan itu, LPT2 menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan mereka dan mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi Twitter LPT2Trafik dan talian bebas tol LPT2Line 1800 88 0220.

Sementara itu, LPT2 menawarkan rebat tol sebanyak 20 peratus pada 8 Mei dan 9 Mei kepada semua pengguna lebuh raya Kelas 1 yang membuat perjalanan melebihi 100 kilometer dan mendaftarkan kad elektronik mereka menerusi portal PLUSMiles di www.plusmiles.com.my.
Pada tarikh-tarikh tersebut, orang ramai masih perlu membayar tol dengan kadar biasa. Rebat tol 20 peratus akan dimasukkan ke dalam kad PLUSMiles atau Touch ‘n Go masing-masing (dalam bentuk Tambah Nilai) apabila pemegang kad PLUSMiles atau Touch ‘n Go yang berdaftar menambah nilai kad mereka di pusat-pusat khidmat pelanggan PLUS di antara 15 Jun sehingga 14 September 2018.

Untuk mendaftar, pemegang kad PLUSMiles atau Touch ‘n Go boleh melayari portal PLUSMiles di www.plusmiles.com.my untuk melayakkan mereka menikmati rebat tol yang ditawarkan.