LPT2 TAWAR REBAT TOL 50 PERATUS

 

Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) menawarkan rebat tol sehingga 50 peratus bagi membantu mengagihkan trafik pada sambutan Hari Kebangsaan dan perayaan Aidiladha yang akan datang.

“Rebat tol 50 peratus tersebut ditawarkan sepanjang hari pada 30 Ogos akan datang. Ia diberikan sebagai tanda penghargaan atas sokongan pengguna lebuh raya tersebut terhadap inisiatif transaksi tol 100 peratus elektronik yang dilancarkan di lebuh raya tersebut baru-baru ini,” kata Pengurus Besar LPT2 Sdn Bhd, Husni Md Yusuf.

Pemberian rebat tol ini turut mengalakkan orang ramai menggunakan lebuh raya LPT2 yang menghubungkan Jabor ke Kuala Terengganu sebagai laluan alternatif pilihan yang lebih menjimatkan masa, lancar dan selesa untuk ke Pantai Timur terutama ke Terengganu dan Kelantan.

Rebat tol pada kali ini diberikan bagi perjalanan kenderaan Kelas 1 (kenderaan ringan dengan 2 gandar dan 3 atau 4 roda kecuali teksi) melebihi 100 kilometer yang membuat transaksi tol di plaza-plaza tol di lebuh raya LPT2. Ia juga ditawarkan sepanjang hari pada tarikh-tarikh tersebut.

Pada tarikh tersebut, orang ramai masih perlu membayar tol dengan kadar biasa. Rebat tol 50 peratus akan dimasukkan ke dalam kad PLUSMiles atau kad Touch ‘n Go (dalam bentuk Tambah Nilai) apabila orang ramai menambah nilai kad mereka di plaza tol LPT2 yang terpilih serta pusat khidmat pelanggan PLUS di antara 15 September hingga 14 Disember yang akan datang.