SUSULAN BANJIR DI LEBUHRAYA PANTAI TIMUR 1 (LPT1) ANTARA SRI JAYA-GAMBANG, PELANGGAN LPT2 DISARAN SUPAYA MERANCANG PERJALANAN

 

Pelanggan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) disaran supaya merancang perjalanan mereka susulan banjir di kedua-dua arah di KM198 di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) di antara Persimpangan Bertingkat Sri Jaya dan Gambang pada ketika ini.

"Pada ketika ini, semua laluan LPT2 di antara Kuala Terengganu dan Jabor masih boleh digunakan. Namun begitu, oleh kerana LPT2 bersambung dengan LPT, pelanggan yang telah memasuki LPT2 digesa supaya berhenti di R&R yang disediakan dengan mematuhi semua SOP norma baharu selaras dengan arahan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara. Pelbagai kemudahan disediakan di R&R di LPT2 dan LPT seperti Perasing, Paka dan lain-lain untuk keselesaan termasuklah gerai makan, tandas awam, surau serta kawasan meletak kenderaan yang luas dan mencukupi sebelum pelanggan menyambung semula perjalanan mereka selepas banjir di LPT surut," kata Pengurus Perniagaan LPT 2 Sdn Bhd, Roszi Ibrahim.

Menurut beliau, orang ramai yang menuju ke Terengganu atau Kelantan dari Lembah Klang disaran supaya berhenti seketika di R&R Temerloh di LPT sebelum menyambung perjalanan mereka.

Pada masa yang sama, orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat keadaan trafik termasuk perkembangan banjir menerusi laman Facebook LPT2 atau menghubungi LPT2Line di talian 1800-88-0220 atau talian bantuan LPT di 1700-81-8700, twitter LPTTrafik atau laman Facebook Lebuhraya Pantai Timur.

LPT2 mendoakan perjalanan yang selamat untuk semua pelanggan dan mengambil langkah sewajarnya untuk menjaga pelanggan dengan baik sepanjang perjalanan.