TRANSAKSI TOL 100 PERATUS ELEKTRONIK DI SEMUA PLAZA TOL LPT2 MULAI 14 OGOS

 

Semua transaksi tol di semua 10 plaza tol di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) akan dikendalikan secara 100 peratus elektronik mulai 14 Ogos yang akan datang. Plaza-plaza tol di LPT2 yang terlibat adalah Plaza Tol Cheneh, Cukai, Kijal, Kerteh, Paka, Dungun, Bukit Besi, Ajil, Telemung dan Kuala Terengganu.

Pengurus Besar LPT2 Sdn Bhd, Husni Md Yusuf berkata, “Mulai 14 Ogos, orang ramai hanya boleh melakukan transaksi tol menggunakan kad PLUSMiles, kad Touch ‘n Go atau SmartTAG dan tiada lagi transaksi tol secara tunai/manual akan dikendalikan.”

Pelaksanaan ini adalah serentak dengan pelaksanaan inisiatif yang sama di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1).

“Justeru itu, kami menggesa orang ramai supaya mendapatkan kad PLUSMiles atau kad Touch ‘n Go dengan segera bagi mengelakkan kesulitan ketika transaksi tol di plaza tol apabila inisiatif ini dilaksanakan kelak. Kad-kad elektronik ini boleh diperolehi di semua lorong masuk di plaza-plaza tol yang terlibat di sepanjang LPT2,” jelas Husni.

Menurut Husni, kira-kira 52 hingga 73 peratus pengguna yang membayar tol di plaza tol LPT2 telahpun menggunakan sistem elektronik.

“Transaksi tol menggunakan sistem elektronik secara amnya adalah 300 peratus lebih pantas berbanding pembayaran secara tunai,” katanya.

Sebuah lorong tunai (keluar) hanya mampu mengendalikan 180 kenderaan dalam tempoh satu jam. Lorong Touch ‘n Go pula berupaya mengendalikan sebanyak 600 kenderaan dalam tempoh yang sama. Manakala, lorong SmartTAG boleh mengendalikan kira-kira 1,000 kenderaan dalam masa satu jam. Pelaksanaan transaksi tol 100 peratus elektronik ini telah berjaya dilaksanakan di plaza tol dan lebuh raya utama yang lain di seluruh negara sebelum ini dan mendapat respon yang amat positif daripada pengguna lebuh raya.